AGENDA

Selangor sokong pertanian bandar, tingkat ketersediaan makanan

7 Nov 2024, 6:30 AM
Selangor sokong pertanian bandar, tingkat ketersediaan makanan
Selangor sokong pertanian bandar, tingkat ketersediaan makanan

KAHERAH, 7 NOV: Kerajaan Selangor menyokong penuh inisiatif pertanian bandar termasuk kebun atas bumbung (rooftop garden) yang diusahakan penduduk bagi menghasilkan sumber makanan.

Dato’ Menteri Besar berkata sokongan sama turut diberikan terhadap mereka yang menjalankan taman komuniti termasuk pertanian menegak iaitu penggunaan kaedah penanaman tanpa tanah dalam bangunan tinggi secara terkawal.

Bercakap dalam forum “Affordable Living For All, Food Security in Selangor Cities”, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan projek pertanian berskala kecil itu bukan sahaja meningkatkan ketersediaan makanan malah mampu menyokong pembangunan ekonomi komuniti.

“Pertanian bandar berperanan penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada import dan meningkatkan bekalan makanan tempatan.

“Projek ini memanfaatkan ruang bandar bagi pengeluaran makanan selain membawa hasil segar kepada penduduk dan memupuk penglibatan masyarakat dalam aspek keselamatan makanan,” katanya semalam.

Sesi perkongsian sempena World Urban Forum ke-12 (WUF12) di Pusat Pameran Antarabangsa Egypt di sini turut menampilkan Lembaga Pengarah Urbanice Malaysia Datin Paduka Dr Dahlia Rosly selaku moderator.

[caption id="attachment_671887" align="alignnone" width="838"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Haji Mohad Shahzihan Ahmad berbual bersama pelajar di Rumah Selangor di Kaherah Mesir pada 6 Nov 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Amirudin berkata pentadbiran negeri juga menggalakkan rakyat mencipta produk memberi nilai tambah seperti pes cili yang dihasilkan daripada tanaman tempatan.

Beliau menekankan penggunaan teknologi dalam memodenkan pertanian dan meningkatkan produktiviti sekali gus menjamin kemampanan sistem makanan.

“Sebagai contoh, alat digital dan peranti internet kebendaan (IoT) membantu petani memantau keadaan tanah, kesihatan tanaman, corak cuaca dan mengoptimumkan penggunaan sumber,” katanya.

Bertemakan “It all starts at home: Local actions for sustainable cities and communities”, WUF12 yang berlangsung dari 4 hingga 8 November menggariskan tindakan tempatan dalam menangani cabaran pembangunan bandar mampan.

WUF12 turut memfokuskan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan menekankan keperluan komuniti menangani cabaran global seperti perumahan mampu milik, penyesuaian iklim, perkhidmatan awam dan kesan peningkatan kos sara hidup.

Lebih 37,000 peserta dari 182 negara disasar menyertai WUF12 selain 140 pempamer, menjadikannya forum bandar dunia terbesar dalam sejarah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619