AGENDA

Taburan hujan hingga 40 peratus lebih tinggi banding tahun lalu

7 Nov 2024, 5:43 AM
Taburan hujan hingga 40 peratus lebih tinggi banding tahun lalu

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan utara serta timur Sabah dijangka menerima taburan hujan melebihi 20 hingga 40 peratus pada musim Monsun Timur Laut tahun ini berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata situasi itu berlaku memandangkan Monsun Timur Laut pada tahun ini berlaku serentak dengan fenomena La Nina.

“Tahun lepas Monsun Timur Laut kita berada dalam fasa El Nino. Biasanya El Nino ini boleh sebabkan cuaca kita kurang hujan berbanding kebiasaan, namun tahun ini diganti dengan La Nina.

“Berdasarkan situasi itu, ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan kita akan menerima lebih hujan 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lepas,” katanya yang ditemui selepas menjadi tetamu program temu bual di Bernama Radio hari ini.

Mohd Hisham berkata berdasarkan maklumat kajian terkini, fenomena La Nina di negara ini dijangka berintensiti lemah hingga sederhana dan tidak memberi kesan yang ketara dari segi corak taburan hujan.

“Berdasarkan kepada model (kajian) sekarang ini, La Nina mungkin tidak seperti yang dijangka saintis beberapa bulan lepas. Beberapa bulan lepas mungkin boleh capai kekuatan hingga tahap sederhana, tapi sekarang ini dah turun pada tahap lemah… mungkin tiada kesan sangat,” katanya.

Bagaimanapun katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sentiasa mengingatkan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619