AGENDA

Larangan sementara guna soket elektrik dalam bas, teliti SOP elak kes renjatan

7 Nov 2024, 4:04 AM
Larangan sementara guna soket elektrik dalam bas, teliti SOP elak kes renjatan

SHAH ALAM, 7 NOV: Penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres dilarang sementara waktu susulan kejadian seorang remaja lelaki maut terkena renjatan elektrik di Pulau Pinang, minggu lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata arahan dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bertujuan mengelakkan kejadian berulang sehingga laporan penuh berhubung insiden berkenaan diterima.

“Laporan lengkap akan disediakan pasukan khas. Saya beri masa 14 hari untuk mereka sediakan dan tahu punca sebenar. Ini akan diumumkan secara terperinci.

“Sementara itu, kita juga dapatkan khidmat Suruhanjaya Tenaga sekiranya perlu penambahbaikan. Kementerian akan tambah baik dan laksana tatacara operasi piawai (SOP) sebelum penggunaan dibenarkan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat  hari ini.

Mengulas lanjut, Loke mengakui tiada piawaian khusus berhubung penggunaan soket dalam bas seperti ditetapkan untuk kapal terbang dan kereta api.

“Soket dalam kapal terbang atau kereta api seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) memang ada piawaian. Ini mesti dipatuhi syarikat pembuat kapal terbang tetapi untuk bas tidak ada piawaian tersendiri.

“Dalam siasatan (kes renjatan elektrik), bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan lain-lain, soket tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan," katanya

Pada Jumaat, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral.

Berikutan itu kementerian menubuhkan pasukan khas terdiri daripada beberapa agensi antaranya APAD, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia selain menggantung operasi bas terbabit bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619