AGENDA

Dua dekad RapidKL operasi, Prasarana anjur pameran khas hujung minggu ini

6 Nov 2024, 8:06 AM
Dua dekad RapidKL operasi, Prasarana anjur pameran khas hujung minggu ini

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Pameran memaparkan potret kejayaan dan inisiatif Rapid KL, selain evolusi dan transformasi pengangkutan awam di bawah kendalian sistem perkhidmatan itu akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini, di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), di sini.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan, pameran itu bagi meraikan sambutan dua dekad pengoperasian Rapid KL di Lembah Klang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pameran itu bertujuan menunjukkan komitmen Rapid KL dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Sambutan ulang tahun ini bukan hanya menandakan perjalanan kami sebagai penyedia perkhidmatan awam, tetapi juga sebagai sebahagian daripada hidup warga kota yang mempercayai kami setiap hari.

“Kami menjemput semua warga kota mengunjungi pameran dan reruai ini sekali gus mengimbas kembali evolusi Rapid KL. Anda digalakkan menaiki perkhidmatan MRT ke Stesen TRX untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menikmati perjalanan yang lebih lancar," katanya dalam kenyataan itu.

Prasarana memaklumkan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti perkongsian sejarah Rapid KL, pameran Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3), reruai Pemeriksaan Awam MRT3 serta reruai rakan-rakan strategik Pas MyTourist.

"Pameran ini turut menyediakan reruai kerjaya bersama Kumpulan Prasarana dan kakitangan bahagian modal insan akan bersedia untuk berkongsi maklumat serta membantu pengunjung.

"Terdapat pelbagai aktiviti lain seperti program MyRapid Junior, Malam Muzik Rapid KL, Akustik Bersama Rapid KL dan Pesta Makanan Rapid KL melibatkan 49 peniaga tempatan yang mengukuhkan lagi dedikasi Rapid KL terhadap inisiatif Rapid KL Support Lokal," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619