AGENDA

Kes dera pegawai kadet, Kementerian Pertahanan jamin siasatan telus

5 Nov 2024, 1:32 PM
Kes dera pegawai kadet, Kementerian Pertahanan jamin siasatan telus

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kementerian Pertahanan bersikap telus dalam siasatan kes buli dan penderaan melibatkan seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan sebarang isu melibatkan disiplin.

“Perkara ini sedang disiasat oleh pihak polis dan juga akademi (Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)). Penting untuk difahami bahawa ini bukan kes buli atau aktiviti orientasi. Ia melibatkan seorang pelajar tahun kedua dan seorang pelajar tahun keempat.

“Kejadian ini terpencil, bukan berkumpulan. Mungkin mereka bergaduh atas isu peribadi, kita tidak tahu perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang ditanya sama ada suspek akan digantung belajar berkata sebarang keputusan akan dibuat selepas memperoleh hasil siasatan.

“Kita tunggu dan lihat hasil siasatan kerana individu yang terlibat ialah pegawai kadet, jadi sebarang hukuman akan ditentukan kemudian dan kami akan memberi kemas kini,” katanya.

Setakat Ahad lepas, polis telah merakam keterangan 16 individu dalam siasatan kes buli dan dera pegawai kadet ALK-UPNM berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya juga telah merampas seterika yang disyaki digunakan untuk menekap mangsa pada Sabtu lepas, namun belum menerima laporan perubatan lengkap berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas setelah didapati bersalah melakukan perbuatan terbabit.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619