AGENDA

Bahasa penghubung utama semarak perpaduan, keharmonian bangsa

5 Nov 2024, 8:36 AM
Bahasa penghubung utama semarak perpaduan, keharmonian bangsa

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Usaha mempromosikan nilai perpaduan dan keharmonian antara rakyat Malaysia melalui keindahan bahasa dan sastera, seperti puisi, perlu diperluaskan dengan penglibatan pelbagai kaum, termasuk etnik dari Sabah dan Sarawak.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan bahasa sebagai alat komunikasi yang dapat menghubungkan rakyat dan mewujudkan perpaduan, keharmonian, serta jati diri kebangsaan dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

“Bahasa tidak hanya berperanan sebagai elemen asas pembinaan sesebuah bangsa, tetapi juga penting dalam menyampaikan nilai-nilai murni bagi membentuk bangsa yang berakhlak dan beretika.

“Pada masa akan datang, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) boleh menganjurkan program seperti Festival Puisi Rakyat dengan mengundang penyair daripada pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata selain puisi bahasa Melayu, puisi dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Iban juga boleh dibacakan dalam satu platform dengan penterjemahan atau penerangan supaya mesejnya sampai kepada semua.

“Ini akan memberikan penghargaan kepada keindahan bahasa masing-masing di samping menggalakkan perpaduan.

“Kementerian, melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara pada 20 Nov tahun lepas, mencadangkan agar PNM bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menganjurkan program yang berteraskan bahasa dan sastera, termasuk penulisan novel dan puisi,” katanya.

Beliau berkata Pertandingan Sayembara Novel yang dianjurkan oleh PNM sejak 15 Mei lalu, bersama penganjuran program hari ini, dilihat sebagai inisiatif yang mampu mempromosikan nilai perpaduan dan keharmoniam dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya menyambut baik dan berharap usaha PNM melalui program ini akan menjadi platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, dan budaya,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619