AGENDA

Tengkujuh: Peka keadaan cuaca, patuhi arahan pihak berkuasa

5 Nov 2024, 5:01 AM
Tengkujuh: Peka keadaan cuaca, patuhi arahan pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Orang ramai diingatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengikut arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta keluarga berikutan musim tengkujuh yang dijangka bermula hari ini sehingga tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata orang ramai juga perlu cakna dan bersiap siaga sebaiknya bagi menghadapi sebarang keadaan.

Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beberapa episod hujan lebat mungkin mengakibatkan banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, Sarawak serta Sabah.

“Untuk dapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca dan amaran bencana terkini, anda boleh layari laman web rasmi Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) di www.met.gov.my,” menurut catatan itu.

Pada 1 Nov, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau musim tengkujuh dijangka bermula pada 5 Nov 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

Semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619