AGENDA

PM bawa mandat dalam sidang tergempar di Riyadh, tekan Israel bebaskan Palestin

4 Nov 2024, 4:53 AM
PM bawa mandat dalam sidang tergempar di Riyadh, tekan Israel bebaskan Palestin
PM bawa mandat dalam sidang tergempar di Riyadh, tekan Israel bebaskan Palestin

SHAH ALAM, 4 NOV: Perdana menteri akan membawa mandat Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, bagi menghentikan kekejaman berterusan rejim Israel.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kehadirannya dalam sidang kemuncak pada 11 November ini untuk memberi tekanan supaya tindakan susulan lebih berkesan diambil bagi pembebasan Palestin.

“Sidang kemuncak ini akan membincangkan tindakan menghentikan kekejaman Israel ke atas Palestin dan pencerobohan serta pemusnahan pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan menteri berhubung Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Dewan Rakyat di ibu negara, hari ini.

Turut dibincangkan, katanya, serangan terbuka ke atas wilayah di Lubnan dan Iran, termasuk pembunuhan dua pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar pada Julai dan Oktober lalu.

Tumpuan juga meliputi isu dihadapi Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) ekoran Israel mengharamkan bantuan kemanusiaan.

[caption id="attachment_659946" align="alignright" width="410"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perasmian Muktamar Masjid SeMalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan pada 25 Ogos 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, Anwar menegaskan penting untuk Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin dan memberi tekanan ke atas Israel supaya membuat gencatan senjata segera.

“Maka, inisiatif Kerajaan Arab Saudi bersama negara Islam untuk memberi tekanan dan gesaan supaya keputusan lebih berkesan dan bermakna bagi pembebasan Palestin termasuk menggerakkan Jawatankuasa Khas menentang Aparteid di PBB ke atas Israel,” katanya.

Menurutnya, Malaysia akan turut mengusulkan agar sokongan penuh diberikan kepada UNRWA bagi melaksana mandatnya dalam memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Salah satu pendekatan yang boleh diambil adalah Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.

“Kegusaran kita tindakan kejam Israel tidak mungkin berlaku tanpa dukungan negara yang membekalkan senjata terus menerus termasuk Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah,” katanya.

Katanya, penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga bagi meningkatkan tekanan diplomatik menggesa pembebasan tahanan Palestin dan penyambungan segera bantuan kemanusiaan.

Anwar menambah negara turut membincangkan pembangunan Pelan Tindakan dan mengenal pasti langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan Palestin dalam garis masa yang munasabah dan jelas.

“Mendukung prinsip keadilan dan perundangan antarabangsa, Malaysia terus komited memperjuang hak Palestin sebagai negara berdaulat, merdeka dengan penyelesaian adil dan muktamad.

"Ini bermakna menghentikan penjajahan, dispossesion (perampasan), keganasan, kezaliman dan genosid,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619