AGENDA

Belanjawan 2025: Manfaat dana RM10 juta bina stadium e-sukan baharu

3 Nov 2024, 1:00 PM
Belanjawan 2025: Manfaat dana RM10 juta bina stadium e-sukan baharu

ISKANDAR PUTERI, 3 NOV: Sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan RM20 juta yang diperuntukan bagi pembangunan ekosistem e-sukan menerusi Belanjawan 2025, akan digunakan untuk pembinaan stadium e-sukan baharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan stadium e-sukan baharu itu, bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan lagi pembangunan industri berkenaan pada masa hadapan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ucapan pada Belanjawan lepas (18 Okt), beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk e-sukan ini.

“Daripada jumlah berkenaan, RM10 juta akan digunakan untuk dibangunkan stadium khusus untuk e-sukan, manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga aktiviti lain berkaitan dengan e-sukan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity di sini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam industri e-sukan, Sarawak telah mengambil langkah kehadapan dengan membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), bagi pembangunan sukan itu.

Beliau berkata langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak juga boleh dicontohi Johor, memandangkan e-sukan tidak hanya dilihat sebagai sukan permainan dalaman semata-mata, bahkan boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.

“Semua pihak perlu memanfaatkan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus.

“Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan melalui program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal,” katanya.

Terdahulu, acara peringkat akhir MPLMY perlawanan antara Vamos (VMS) dan Selangor Red Giants (SRG), disaksikan lebih 2,000 pengunjung.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619