AGENDA

Jakim: Lebih 370,000 aduan rumah tangga, masalah akhlak tertinggi

3 Nov 2024, 12:19 PM
Jakim: Lebih 370,000 aduan rumah tangga, masalah akhlak tertinggi

PORT DICKSON, 3 NOV: Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) merekodkan sebanyak 378,815 kes aduan kekeluargaan bagi tempoh 2021 hingga 2023, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau berkata masalah akhlak atau sosial merupakan aduan tertinggi dengan 167,619 kes, diikuti oleh isu tidak bertanggungjawab, masalah komunikasi, kurang penghayatan agama, campur tangan pihak ketiga, serta pelbagai masalah lain seperti kesihatan, kewangan, dan perbezaan latar belakang.

“Pelbagai aduan kita terima melalui banyak saluran. Di Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) kita ada KSK Care, iaitu talian bantuan untuk pasangan atau umat Islam yang menghadapi masalah dalam membina keluarga atau isu rumah tangga.

“Kita memberikan kaunseling secara dalam talian oleh kaunselor bertauliah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Jakim 2024 ‘Fasa Semarak Kasih’ selama tiga hari bermula Jumaat yang dihadiri 19 pasangan di sini hari ini.

Beliau berkata Jakim melaksanakan pelbagai program untuk menangani konflik dan isu keruntuhan rumah tangga, serta meningkatkan usaha untuk mengurangkan kes perceraian dalam kalangan umat Islam melalui kursus pascaperkahwinan dan program berkaitan lainnya.

Sirajuddin berkata kursus tersebut dilaksanakan sebagai platform untuk membantu pasangan suami isteri menambah ilmu mengenai rumah tangga dan kekeluargaan, bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan bahagia, serta meningkatkan semangat dan prestasi kerja masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan komitmen Jakim dalam menangani masalah ajaran sesat di negara ini, yang melibatkan penguatkuasaan, dakwah, dan penyebaran maklumat sebenar mengenai penyelewengan ajaran akidah.

“Sekiranya terdapat maklumat mengenai ajaran sesat, tindakan segera akan diambil oleh pihak berkuasa agama negeri setelah mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa negeri dan pandangan daripada jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai hukuman yang lebih berat untuk mereka yang mengembangkan ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah masih di peringkat jawatan kuasa, bertujuan untuk meningkatkan tindakan dan hukuman yang sewajarnya.

Sirajuddin menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ajaran yang diragui kebenarannya untuk memaklumkan kepada JAKIM atau jabatan agama Islam negeri agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619