SUBANG JAYA, 3 NOV: Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong dengan 40 peratus dari luar negara.
EXCO pelancongan berkata Tourism Selangor melaksanakan pelbagai program promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk menggunakan semua platform untuk menonjolkan lokasi menarik di negeri ini.
"Banyak yang telah kita laksana termasuk kempen pelancongan global seperti di negara China, India dan Indonesia. Penting untuk kita tingkatkan sektor pelancongan ke tahap lebih cemerlang.
"Selangor ada banyak destinasi pelancongan merangkumi pelbagai segmen. TMS2025 juga menawarkan banyak acara yang pastinya akan meninggalkan memori indah kepada pelancong." kata Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Selangor Travel Fair 2024 dan pelancaran logo TMS2025 di Sunway Pyramid di sini, hari ini. Hadir sama EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad.
Majlis tersebut turut memperkenalkan lagu khas TMS2025 bertajuk 'Surprising Selangor' yang dinyanyikan Aizat Amdan.
Sementara itu, Borhan berkata pelbagai program kebudayaan akan dianjurkan bagi menyokong TMS2025.
"Apa yang kita hendak tekankan kepada pelancong luar bukanlah bangunan tinggi tetapi budaya yang terdapat di Selangor seperti Mah Meri, ronggeng, muzik cempuling termasuk pelbagai jenis makanan.
"Kita telah bersedia awal dengan beberapa program termasuk Fiesta Makanan Warisan Selangor dan program silang budaya. Ini yang kita ketengahkan untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara," katanya.
TMS2025 dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Menurut Tourism Selangor, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan iklan panel belakang bas Smart Selangor yang mempromosi lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri sempena TMS2025.