AGENDA

Gagal selesai tuntutan hampir RM250,000, syarikat milik Zamsaham bakal disita

1 Nov 2024, 12:07 PM
Gagal selesai tuntutan hampir RM250,000, syarikat milik Zamsaham bakal disita

JOHOR BAHRU, 1 NOV: Proses penyitaan aset sedang dilaksanakan terhadap syarikat Unclezam Holdings Bhd milik Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham selepas gagal menyelesaikan baki wang tuntutan berjumlah RM249,675.60.

Pengarah Nita Sahari Properties Sdn Bhd Juwita Mohd Sahari berkata jumlah itu merupakan baki daripada keseluruhan RM999,675.60 pelaburannya ke dalam syarikat Unclezam Holdings pada 2021.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 8 Mei tahun lepas telah memerintahkan agar Norizam yang juga pemilik kelab bola sepak Kelantan FC melangsaikan tuntutan berkenaan dengan segera.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa Unclezam Holdings Berhad perlu membayar kepada saya sebanyak RM249,675.60. Jumlah ini merupakan baki daripada jumlah keseluruhan RM999,675.60 (pelaburan) yang telah saya bayar kepada mereka.

“Pembayaran ini berkaitan dengan urusan yang telah disetujui sebelum ini, dan penghakiman mengesahkan hak saya untuk mendapatkan kembali jumlah terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata cubaan untuk menyerahkan notis sitaan pada awal bulan lepas tidak dapat dilaksanakan berikutan premis Unclezam Holdings di alamat yang diberikan telah disewa oleh syarikat lain sekali gus menegaskan pihaknya akan berusaha untuk memperoleh alamat terkini.

Pada April 2021, Juwita dilaporkan bersetuju membuat pelaburan berjumlah RM999,675.60 ke dalam syarikat Unclezam Holdings milik Norizam, namun menarik diri selepas beberapa bulan kerana syarat pelaburan tidak dipatuhi.

Beliau berkata pembayaran sebanyak RM750,000 telah dibuat, bagaimanapun baki sebanyak RM249,675.60 masih gagal diselesaikan menyebabkannya membawa tuntutan itu ke mahkamah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619