AGENDA

Deepavali: Aliran trafik semakin meningkat takat 3 petang

30 Okt 2024, 7:50 AM
Deepavali: Aliran trafik semakin meningkat takat 3 petang

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan semakin meningkat setakat 3 petang ini berikutan pertambahan kenderaan bersempena dengan cuti perayaan Deepavali yang akan disambut esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.

Menurutnya, kenderaan bergerak perlahan menghala pantai timur iaitu dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan menuju ke pusat bandar pula trafik bertambah dari Plaza Tol Sungai Besi.

“Aliran trafik perlahan turut dilaporkan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari Putra Height ke Seafield dan USJ ke Putrajaya.

“Selain itu, terdapat juga kesesakan di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) E1 arah Utara dari Tol Juru ke Seberang Jaya, ekoran kemalangan di KM138.7. Insiden telah selesai, namun trafik masih lagi perlahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut memaklumkan dari Permatang Pauh ke Sungai Dua, trafik sudah mula perlahan, dan semakin bertambah dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim.

“Di PLUS E2, trafik masih terkawal perlahan di beberapa lokasi antaranya dari Senai Utara ke Kulai dan dari Dato’ Onn ke Persimpangan Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, aliran trafik di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah Utara masih lagi perlahan dari Puchong Utama ke Puchong Intan, Plaza Tol PJS ke Jambatan Kabel, Kelana Jaya ke SS2 dan Plaza Tol Penchala ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619