Oleh ANNA FARINA ABDUL RAUF
SHAH ALAM, 29 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya mengutip dana berjumlah RM15,000 melalui penganjuran Kejohanan Golf Amal PNSB 2024 di Glenmarie Golf and Country Club, Ahad lalu.
PNSB dalam kenyataan memaklumkan kutipan dana itu disalurkan kepada lima pertubuhan kebajikan terpilih iaitu The National Autism Society of Malaysia (Nasom).
Selain itu Kelab Bell Belia Tamil Negeri Selangor, Persatuan Komuniti Ehsan Insan Klang, Pertubuhan Pewaris Alam dan Badan Kebajikan Pejabat Pendidikan Daerah Klang, katanya.
"Penganjuran kali ini bermatlamat mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan dan ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat PNSB tahun ini.
"Golf Amal PNSB 2024 turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Setia Haris Kasim." menurutnya.
Kejohanan kali ini menyaksikan seramai 144 peserta dari pelbagai jabatan, agensi dan organisasi bersaing bagi merebut hadiah juara keseluruhan selain tawaran hadiah bagi kategori medal A dan B.
Juara keseluruhan dalam kejohanan kali ini menjadi milik Alex Teoh Wei Zhi, sementara Faiz Roslan (naib juara) dan Mohd Al Faizal Amjed (tempat ketiga).
Pemenang kategori Medal A pula dimenangi oleh Muhammad Amerrullah Abdul Aziz manakala Dato' Seri Abdul Razak Jaafar memenangi kategori Medal B.