AGENDA

707 mangsa sindiket pekerjaan diselamatkan, 199 lagi sedang dijejak

29 Okt 2024, 7:32 AM
707 mangsa sindiket pekerjaan diselamatkan, 199 lagi sedang dijejak

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerajaan berjaya menyelamatkan 707 warga Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, dalam tempoh lima tahun sejak 2020.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Muhammad Alamin berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 906 warga Malaysia yang terlibat dalam sindiket berkenaan, selain baki 199 lagi sedang dijejak.

“Angka dan jumlah tersebut adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri.

“Fenomena yang dikenali sebagai sindiket penipuan tawaran pekerjaan ini telah mendapat perhatian wakil rakyat, di mana kementerian juga sering mendapat laporan daripada pejabat khidmat berkaitan kes ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Muhammad (Kimanis-BN) berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas-HARAPAN) berhubung jumlah rakyat Malaysia yang ditipu untuk ke luar negara dan terlibat dalam penipuan atas talian bagi tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, Muhammad menambah, kerajaan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan pekerjaan termasuk memanfaatkan platform media sosial.

Beliau turut mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan tidak masuk akal.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia, perwakilan Malaysia di luar negeri atau pihak berkuasa yang lain,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619