AGENDA

Deepavali: Khairul Aming cabar diri, berlatih tiga jam masak wade

29 Okt 2024, 7:32 AM
Deepavali: Khairul Aming cabar diri, berlatih tiga jam masak wade

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pempengaruh dan pencipta kandungan terkenal Khairul Aming memeriahkan lagi sambutan Deepavali dengan mengeluarkan video masakan India.

Terkenal dengan siri “30 Hari 30 Resepi”, Khairul Aming menyahut cabaran menyediakan tiga juadah India dalam video bertemakan Deepavali pertamanya, iaitu ulunthu vadai (wade), masala tea (teh masala/berempah) dan kari ayam ala India.

Usahawan berusia 32 tahun ini yang nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, berkata juadah tersebut diinspirasikan daripada rasa suka beliau terhadap makanan India.

“Saya memang gemarkan makanan India namun tidak pernah cuba memasaknya. Justeru, bersempena dengan Deepavali, saya cabar diri untuk belajar dan berkongsi resipi ini dengan penonton,” katanya kepada Bernama semasa penggambaran eksklusif di studionya, di sini baru-baru ini.

Khairul Aming yang mengenakan jippa berwarna perak-hitam bekerjasama rapat dengan pasukannya bagi memastikan hidangan yang disediakan itu benar-benar menyerlahkan keaslian masakan India, dengan tumpuan diberi kepada bahan dan sukatan.

Bernama menyaksikan kejayaan Khairul menyediakan wade, gorengan India Selatan yang diperbuat daripada sejenis kacang hitam, cili, bawang besar dan tepung beras - satu hidangan yang agak sukar untuk disediakan dan memerlukan latihan berulang kali.

“Memang agak mencabar untuk menyediakan wade ini,” akuinya, dan menambah: “Saya berlatih pada malam semalam, dan hanya dapat menyempurnakannya selepas tiga jam berlatih.”

Beliau melengkapkan hidangan itu dengan teh masala dan kari ayam dihiasi daun ketumbar yang diletakkan di atas pinggan perak beralaskan daun pisang.

Khairul Aming melakukan persediaan rapi sebelum melakukan cabaran itu dengan turut menyelami budaya masyarakat India, termasuk membeli bahan-bahan untuk masakan tersebut di Little India, Brickfields serta menggunakan periuk tanah liat dan perkakas dapur diperbuat daripada perak.

Berkongsi pengalamannya pertama kali membeli-belah untuk persediaan Deepavali itu, beliau menggambarkan suasana sebagai “berwarna-warni dan mengharukan.”

“Ada seorang mak cik yang begitu baik hati membantu saya membeli perkakas dapur, bahan-bahan untuk teh serta pakaian saya. Memang menyeronokkan,” katanya sambil mendedahkan beliau berbelanja sekitar RM500 untuk kesemua barangan berkenaan.

Video “Khairul Aming's Deepavali Special” itu dikeluarkan hari ini menjelang sambutan Pesta Cahaya yang akan disambut pada Khamis ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619