AGENDA

Status projek lima stesen LRT3 dibincang di Dewan Rakyat hari ini

28 Okt 2024, 12:20 AM
Status projek lima stesen LRT3 dibincang di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan mengenai permainan digital tempatan yang menerima dana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan status terkini projek lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syahredzan Johan (HARAPAN-Bangi) meminta Menteri Digital menyatakan permainan digital tempatan sama ada komputer atau video yang menerima dana MDEC sejak 2014 hingga kini, serta jumlah dana diterima bagi setiap permainan dan hasil jualan bagi setiap permainan tersebut pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini penerusan projek lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini, termasuk unjuran tarikh pengoperasian serta implikasi kos tambahan yang terlibat berbanding unjuran asal.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kerajaan bersedia membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terpilih untuk menunaikan haji dengan mengeluarkan simpanan mereka sebelum mencapai umur persaraan.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2025) selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada 18 Okt lepas.

Setakat minggu lepas, 75 ahli parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu dengan antara isu dibangkitkan ialah mengenai pelaksanaan gaji minimum dan subsidi bersasar.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619