AGENDA

Selangor FC tewas 0-3 dengan JDT di Stadium MBPJ

27 Okt 2024, 1:13 PM
Selangor FC tewas 0-3 dengan JDT di Stadium MBPJ

PETALING JAYA, 27 OKT: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menundukkan seteru utama Selangor FC 3-0 dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini malam ini.

Skuad Harimau Selatan yang bertandang ke tempat lawan kini mengumpul 34 mata terus selesa melebarkan jurang lapan mata dengan Gergasi Merah yang mengumpul 26 mata di kedudukan kedua liga.

Memulakan babak pertama, anak buah Hector Bidoglio mengatur gerak agresif serta melakukan cubaan demi cubaan bagi memecah kebuntuan gol.

Asakan bertali arus JDT membuahkan hasil apabila Romel Morales menanduk kemas sepakan percuma Juan Muniz sekali gus menewaskan penjaga gol Selangor Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-30.

Kelincahan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam menggelecek kemudian menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila leretan kemas ke dalam kotak penalti dilakukannya menemui kaki rakan sepasukan Bergson da Silva untuk jaringan kedua JDT pada minit ke-44.

Babak kedua, Selangor kendalian Mohd Nizdam Jamil terus berduka apabila JDT mencetak gol ketiga pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti Bergson selepas Mohammad Abualnadi menjatuhkan Arif Aiman.

Selangor cuba mencari gol sulung namun setiap cubaan mudah dipatahkan pertahanan JDT dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Untuk rekod, pertemuan kali terakhir kedua-dua pasukan ini adalah pada final Piala FA Ogos lepas, menyaksikan JDT membelasah Selangor 6-1.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619