AGENDA

PM: Permohonan Malaysia sertai BRICS dapat sokongan padu anggota

27 Okt 2024, 8:22 AM
PM: Permohonan Malaysia sertai BRICS dapat sokongan padu anggota

KUALA KANGSAR, 27 OKT: Permohonan Malaysia untuk menjadi anggota BRICS mendapat sokongan padu daripada kalangan anggotanya termasuk Rusia, China dan India ketika mesyuarat lapan negara asas BRICS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dikongsi Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali dalam pertemuan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

“Beliau (Abiy) kata dalam mesyuarat lapan negara asas itu yang dipengerusikan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, (yang turut) dihadiri Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi, negara pertama yang diusulkan ialah Malaysia.

“Putin cadang, sokongan kuat dan padu oleh negara China, India, Brazil, Ethiopia dan Afrika Selatan...terus tiada soal, mereka terima Malaysia sebagai anggota BRICS yang baharu, ada negara lain ditangguhkan,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di Dataran Arena Square Pekan Isnin, Padang Rengas di sini hari ini.

Anwar berkata Abiy turut memberitahu bahawa imej Malaysia sangat baik kerana daripada lebih 30 negara memohon untuk menyertai BRICS, Malaysia ialah antara yang berjaya menyertai blok itu.

Khamis lalu, Bernama melaporkan Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Memetik kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Sebagai rekod, pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

BRICS, yang pada asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi yang sedang membangun, dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan secara kumulatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$26.6 trilion (RM115.4 trilion) atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi kumpulan G7.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu, Malaysia kini dianggap hab utama semikonduktor dan berjaya menarik pelbagai pelaburan daripada kalangan syarikat utama dunia, disokong oleh kestabilan politik dan dasar jelas negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619