AGENDA

Serang peguam di kedai kopi hingga cedera, dua lelaki diburu

26 Okt 2024, 7:28 AM
Serang peguam di kedai kopi hingga cedera, dua lelaki diburu

GEORGE TOWN, 26 OKT: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata serangan yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.

"Polis kini giat memburu dua lelaki tempatan dan berdasarkan siasatan, mereka diupah oleh seseorang atau "mastermind" untuk menyerang peguam itu dengan menggunakan besi.

"Dua lelaki itu menaiki sebuah kereta semasa kejadian namun pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, kami percaya insiden itu bukan bermotifkan samun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.

“Serangan hendap yang dirancang itu bukan sahaja serangan ke atas individu tetapi juga serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.

Lee berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis juga meminta kerjasama saksi atau sesiapa yang nampak kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619