AGENDA

Tindakan lelaki beri sedekah disalah erti sebagai cubaan culik

25 Okt 2024, 7:49 AM
Tindakan lelaki beri sedekah disalah erti sebagai cubaan culik

IPOH, 25 OKT: Tindakan ikhlas seorang lelaki memberi wang tunai kepada kanak-kanak berusia lima tahun telah disalah erti sebagai mahu menculik kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata insiden yang berlaku di Chemor Rabu lalu itu membawa kepada tindakan rakaman percakapan lelaki berusia 35 tahun untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan terperinci mendapati ibu kepada kanak-kanak itu telah salah faham terhadap perbuatan suspek yang menghampiri dan memberikan wang tunai kepada mangsa.

“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan bekerja sebagai kontraktor dan hasil semakan rekod jenayah mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata oleh itu polis menafikan berlaku kejadian cubaan menculik sebagaimana yang dilaporkan di daerah Ipoh.

Justeru, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas individu yang menyebarkan berita palsu atau tidak benar yang boleh menggugat ketenteraman awam di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata pada 8.17 malam, 23 Oktober lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang mendakwa terdapat cubaan menculik terhadap anak lelakinya oleh lelaki yang tidak dikenali kira-kira 2 petang hari sama.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619