AGENSI

Legenda hoki puji kerajaan, dana besar pastikan kemajuan sukan

24 Okt 2024, 2:00 AM
Legenda hoki puji kerajaan, dana besar pastikan kemajuan sukan

SHAH ALAM, 24 OKT: Peruntukan lebih RM230 juta bagi warga sukan yang diumum dalam Belanjawan 2025, mampu memperkasa dan memastikan pembangunan berterusan sektor berkenaan.

Legenda hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi berkata jumlah yang meningkat berbanding tahun ini juga bukti kerajaan perpaduan prihatin untuk memantapkan ekosistem sukan negara.

“Terima kasih kepada perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kita bersyukur kerana memang perlu belanjawan yang baik untuk memastikan kesinambungan pembangunan sukan.

"Ia sekali gus membuktikan kerajaan menitik berat sukan di negara ini,” katanya ditemui selepas majlis perasmian Jr Sahara Playland di pusat beli-belah Aeon, di sini hari ini.

Kerajaan komited memantapkan ekosistem sukan negara, termasuk program po­dium, latihan intensif atlet dan Road to Gold (RTG) ter­utama persiapan menjelang Sukan ­Olimpik Los Angeles 2028.

Ia turut meliputi persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025 serta RM15 juta kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18 tahun dan bawah 13 tahun.

Kerajaan juga menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan, manakala RM1 juta diperuntuk bagi pembangunan sukan kriket.

Pengecualian cukai pendapatan juga dicadang ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan melalui Majlis Sukan Negara.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619