AGENDA

TUDM nafi dentuman sonik punca gegaran kuat di Ipoh

22 Okt 2024, 11:08 AM
TUDM nafi dentuman sonik punca gegaran kuat di Ipoh

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menafikan bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh, Perak pagi semalam berpunca daripada dentuman sonik (sonic boom) pesawat pejuang tentera.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM mahupun pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara di sekitar kawasan dan masa kejadian tersebut.

“Pihak TUDM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat kejadian terbabit pada 11.06 pagi dan semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan pada hari berkenaan.

Sementara itu, semakan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di mana-mana kuari sebelum 12 tengah hari semalam.

Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mendapati tiada sebarang aktiviti seismik di daerah Kinta walaupun gempa bumi dilaporkan berlaku di Halmahera, Indonesia, 11.24 pagi hari kejadian.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619