AGENDA

Usaha nokhtah miskin tegar, baucar buku antara tumpuan Dewan Rakyat

22 Okt 2024, 12:27 AM
Usaha nokhtah miskin tegar, baucar buku antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Status terkini usaha kerajaan untuk menokhtahkan miskin tegar dan mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen perkara berkenaan dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan di bawah agenda reformasi khusus buat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi demi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan tanggungjawab sosioekonomi nasional tercapai tanpa menjejaskan daya maju, daya saing dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Turut menarik perhatian, pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Pendidikan menjelaskan status terkini pemberian baucar buku seperti yang telah diumumkan dan berapa jumlah peruntukan yang telah disediakan.

Selain itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengemukakan soalan kepada Menteri Perladangan dan Komoditi mengenai langkah strategik untuk meningkatkan hasil komoditi sawit memandangkan pengeluaran semasa yang semakin menyusut dikhuatiri meletakkan industri sawit senasib dengan getah yang tidak lagi mampu menampung keperluan negara.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, yang memasuki hari kedua hari ini.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619