ad
AGENDA

Fenomena air pasang besar, negeri ganda usaha elak risiko banjir

20 Okt 2024, 12:10 PM
Fenomena air pasang besar, negeri ganda usaha elak risiko banjir

GOMBAK, 20 OKT: Semua agensi di negeri ini perlu menggandakan usaha untuk mengelakkan risiko banjir ketika fenomena air pasang besar.

Dato' Menteri Besar berkata fenomena air pasang yang berakhir hari ini berada dalam keadaan terkawal namun terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik demi kesejahteraan rakyat.

“Ada beberapa insiden yang dicatatkan tetapi terkawal. Syukur juga kerana beberapa langkah (kawalan) telah berjaya tetapi masih berlaku banjir kerana limpahan air.

“Saya berpuas hati dengan persediaan dan mungkin kita tambah lagi usaha supaya apabila fenomena ini berlaku lagi kita dapat hindarkan masalah banjir,” kata Dato' Seri Amirudin Shari kepada pemberita.

Terdahulu beliau memyempurnakan program Majlis Sambutan Ulang Tahun Air Selangor ke-5 Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin turut meluahkan rasa syukur berikutan kadar hujan yang direkodkan sepanjang fenomena air pasang besar, khususnya sejak tiga hari lalu, tidak berintensiti tinggi.

“Saya bersyukur kerana dalam tempoh tiga hari ini juga tiada hujan yang tinggi dicatatkan, itu membantu banyak daripada berlakunya insiden banjir,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meminta semua penduduk di kawasan pesisir pantai di Selangor berada dalam peka dan berwaspada susulan fenomena air pasang besar bermula 17 Oktober hingga 20 Oktober.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata, bacaan paras air laut dijangka meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter pada 18 Oktober, dan disifatkan tertinggi bagi tahun ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.