AGENDA

Nadma pastikan dana pengurusan bencana, kebajikan mangsa lebih efisien

19 Okt 2024, 2:50 AM
Nadma pastikan dana pengurusan bencana, kebajikan mangsa lebih efisien

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Peruntukan yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Belanjawan 2025 Malaysia Madani akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pengurusan bencana dan kebajikan mangsa terjejas dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pihaknya akan menggunakan peruntukan berkenaan bagi mempertingkatkan keselesaan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik dan berkualiti.

"Peruntukan ini akan digunakan untuk mendapatkan barangan seperti bilik mandi dan tandas mudah alih, selain khemah yang lebih selesa bagi mangsa terjejas. Selain itu, bekalan makanan yang lebih berkhasiat juga akan disediakan untuk mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sebahagian daripada peruntukan berkenaan akan digunakan bagi memperluaskan agihan wang ihsan kepada lebih banyak mangsa bencana.

"Wang tersebut turut akan disalurkan kepada agensi responden serta sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pengurusan di semua peringkat berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Shahril turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan yang diberikan, dan berjanji akan memastikan ia digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan bahawa hampir RM600 juta diperuntukkan kepada Nadma sebagai persediaan menghadapi bencana, khususnya banjir.

Ini termasuk lebih RM300 juta telah disediakan sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619