AGENDA

Selangor tewaskan Pahang 3-0 untuk muncul juara Piala Agong 2024

18 Okt 2024, 3:37 PM
Selangor tewaskan Pahang 3-0 untuk muncul juara Piala Agong 2024

MELAKA, 18 OKT: Selangor muncul juara bola sepak Piala Agong 2024 selepas menewaskan Pahang 3-0 dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah di sini malam ini.

Kemenangan itu diraih menerusi jaringan pembukaan oleh Muhammad Faris Hafiz Azhar seawal minit kelapan diikuti Muhammad Danish Asraf Mohd Noor Azli di minit ke-64 sebelum Iqbal Hazim Radzi menambah gol pada minit ke-88.

Selaku juara Selangor membawa hadiah kemenangan RM10,000 serta pingat dan piala pusingan yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Ketua Jurulatih Selangor Muhammad Zamri Hassan berkata kemenangan itu menyuntik semangat kepada pasukan bimbingannya bagi meneruskan cabaran pada saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) Edisi ke-102 di Melaka bermula Isnin ini hingga 27 Oktober.

“Syukur dengan kemenangan ini kerana ia merupakan kali kedua kita memenanginya di samping membalas dendam selepas kekalahan pada separuh akhir pada edisi (PERR) sebelum ini.

"Lebih penting kita mahu memastikan semua pemain dapat mengekalkan kecergasan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya di sini hari ini.

Muhammad Zamri berkata konsep pertandingan secara karnival itu juga bakal menguji daya ketahanan pemain Selangor kerana dijadualkan berdepan tiga perlawanan selama tiga hari berturut-turut.

Pada edisi tahun ini menyaksikan Selangor diundi dalam Kumpulan B bakal berdepan Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan manakala Pahang juara bertahan PERR edisi lepas berada dalam Kumpulan D bersama Bomba, Kelantan dan Pulau Pinang.

Melaka selaku tuan rumah pula berada dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur, Perak dan Perlis sementara Kumpulan C diwakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), PDRM dan SPRM.

Kesemua perlawanan berlangsung di lapan venue iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Tun Fatimah, Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah dan Henry Gurney Telok Mas, Dragor Bukit Katil, Wisma MAFA, Kompleks Rakan Muda Lendu dan UiTM Alor Gajah.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619