AGENDA

Potongan cukai 50 peratus kepada majikan gaji wanita kembali bekerja

18 Okt 2024, 12:38 PM
Potongan cukai 50 peratus kepada majikan gaji wanita kembali bekerja

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan potongan cukai itu melibatkan penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

"Selain itu, program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut mengumumkan Program Returnship akan diperintis bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.

"Program anjuran BNM (Bank Negara Malaysia) dan SC (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja," katanya.

Beliau berkata sejumlah RM470 juta dana pembiayaan turut disediakan SME Bank, BSN (Bank Simpanan Nasional), Bank Rakyat dan MARA (Majlis Amanah Rakyat).

"Ia bagi menyokong PMKS (perusahaan mikro kecil dan sederhana) wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga menjelang tahun 2026.

Menurut beliau langkah terbabit bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.

"Hasil daripada cukai ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619