AGENDA

Guna kraf tangan tempatan untuk cenderamata program Asean

18 Okt 2024, 10:07 AM
Guna kraf tangan tempatan untuk cenderamata program Asean

SHAH ALAM, 18 OKT: Semua kementerian dan jabatan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat serta aktiviti sempena kepengerusian Asean-Malaysia 2025 perlu menggunakan kraf tangan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka perlu mendapatkannya daripada pengusaha tempatan yang boleh mengetengahkan kehalusan, keunikan dan keaslian untuk dikongsi kepada semua.

"Sebagai contoh, beg dokumen yang saya gunakan hari ini ialah kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan," katanya.

"Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti semua negeri. Saya berharap penganjuran ini menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraf tangan."

Beliau bercakap demikian dalam pembentangan belanjawan 2025 bertemakanMembugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kepengerusian Asean 2025 peluang terbaik Malaysia mengemudinya berpandukan Wawasan Komuniti Asean 2045, sekali gus lebih berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

Jelasnya, Malaysia juga berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan di peringkat Asean, termasuk menggerakkan pembangunan bersempadan negara tetangga.

"Tentunya mencabar untuk melunas amanah besar ini, apalagi Asean teruji dengan persaingan kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim.

"Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa Asean mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi Sidang Kemuncak Asean-GCC + China buat julung kalinya," kata Anwar.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619