AGENDA

Tiada bukti kukuh kaitkan pegawai kerajaan, pemimpin politik dengan GISBH

17 Okt 2024, 3:16 AM
Tiada bukti kukuh kaitkan pegawai kerajaan, pemimpin politik dengan GISBH

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik, terlibat atau bersubahat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berdasarkan siasatan setakat ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen menyebut bagaimanapun kementerian itu tidak menolak sebarang kemungkinan, kerana siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan daripada pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang.

Ia bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (HARAPAN-Kepong) sama ada terdapat pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH, serta adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja diperlukan berhubung jenayah yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

Menurut KDN pihak kementerian tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung perkara berkenaan pada masa ini.

KDN memaklumkan bahawa pihak PDRM harus diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi, memandangkan siasatan dan operasi yang dijalankan PDRM masih berjalan bagi menjejak saki baki pengikut kelompok itu.

“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara. Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” menurut KDN.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619