AGENDA

Dewan Rakyat tumpu gulung perbahasan, undi RUU kewarganegaraan

17 Okt 2024, 12:36 AM
Dewan Rakyat tumpu gulung perbahasan, undi RUU kewarganegaraan

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Seramai 59 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu semalam.

Sementara itu, situasi keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan susulan serangan tentera Israel turut dibincangkan di Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dikemukakan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) kepada Menteri Pertahanan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) bertanyakan Menteri Dalam Negeri berhubung usaha yang dilaksanakan bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat dan merekodkan hingga dua kes sehari.

Turut menarik perhatian, soalan Zahir Hassan (HARAPAN-Wangsa Maju) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab lisan berhubung aktiviti persundalan, pergaduhan warga asing tanpa permit dan kebanjiran penjaja warga asing di ibu negara yang masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619