SELANGOR

Nelayan pukat ikan, tertangkap buaya tersangkut dalam pukat

16 Okt 2024, 11:35 AM
Nelayan pukat ikan, tertangkap buaya tersangkut dalam pukat

IPOH, 16 OKT: Seekor buaya tembaga ditemukan tersangkut bersama tangkapan lain dalam pukat milik nelayan di Bagan Ikan, Bagan Datuk dekat sini pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada 11.30 pagi daripada nelayan terbabit yang juga merupakan pemilik sebuah pelantar ikan di kawasan berkenaan.

"Dia (nelayan terbabit) telefon Pusat Kawalan Operasi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) Daerah Bagan Datuk mengatakan seekor buaya telah ditangkap bersama ikan dalam pukat.

"Lima anggota dan pegawai APM Daerah Bagan Datuk terus ke lokasi untuk mengesahkan memang betul terdapat seekor buaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata meskipun pihaknya sedia maklum terdapat buaya di kawasan berkenaan dan kehadiran hidupan liar itu pernah tular di laman sosial sebelum ini, namun setakat ini tiada sebarang kes melibatkan konflik antara haiwan itu dengan manusia.

Mohd Fazly berkata sejurus pihaknya mengesahkan bahawa buaya berkenaan tersangkut pada pukat ikan itu, beliau menghubungi Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Teluk Intan untuk tindakan lanjut.

"Buaya itu telah diangkat enam orang, membabitkan anggota APM dan pegawai Perhilitan.

“Pegawai Perhilitan ada memberitahu anggaran panjang buaya betina itu adalah kira-kira 3.048 meter dengan berat antara 60 ke 70 kilogram," katanya.

Beliau berkata buaya itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619