AGENDA

Ringgit mengukuh didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan

16 Okt 2024, 7:41 AM
Ringgit mengukuh didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan

SHAH ALAM, 16 OKT: Pergerakan nilai ringgit tahun ini antaranya didorong perkembangan dalam pasaran global dan prestasi ekonomi domestik yang kukuh, kata menteri kewangan II.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata selain perkembangan global, Ringgit Malaysia menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan.

“Pendekatan kerajaan meyakinkan kerana menetapkan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi Madani dan disusuli pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.

“Selain itu penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel serta kerangka Ekonomi Madani juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin di Dewan Rakyat hari ini yang ingin tahu faktor nilai ringgit melonjak naik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Teks jawapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Amir Hamzah, asas ekonomi negara juga bertambah kukuh dengan pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding suku pertama 4.2 peratus.

“Selain itu pengangguran terus menurun ke paras 3.2 peratus pada Ogos 2024 selaras dengan keadaan sebelum Covid-19 dan inflasi pada Ogos 2024 pada 1.9 peratus kekal pada tahap terkawal berbanding dua peratus untuk tiga bulan sebelumnya.

“Pelaburan yang diluluskan, perdagangan serta indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat yang membantu mewujudkan aliran dua hala lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619