ad
AGENDA

MPAJ, agensi berkaitan laksana kerja pembersihan tanah runtuh di Taman Melawati

15 Okt 2024, 1:32 PM
MPAJ, agensi berkaitan laksana kerja pembersihan tanah runtuh di Taman Melawati

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan melaksana kerja pembersihan di kawasan runtuhan Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.

MPAJ memaklumkan pihaknya dan KDEB Waste Management turut menutup kawasan runtuhan dengan plastik tarpaulin sebagai langkah keselamatan dan membersihkan longkang di Jalan G2, Taman Melawati.

“MPAJ akan melaksanakan kerja pembersihan Jalan Serdang dan Jalan E6, Taman Melawati bagi memudahkan penduduk keluar masuk ke kawasan kediaman. Kita akan maklum sekiranya akses tersebut boleh diguna semula.

“Pusat Penempatan Sementara (PPS) juga akan dibuka di Dewan Orang Ramai Jawatankuasa Penduduk Zon 1, Taman Melawati dan Dewan MPAJ AU2, Taman Keramat (jika ada keperluan),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan sama, pihak bomba juga akan mengalihkan saliran air ke sebelah Jalan G2, Taman Melawati bagi mengurangkan aliran air di kawasan terjejas.

Tambahnya, MPAJ serta agensi berkaitan akan terus membuat pemantauan keadaan di tapak dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan penduduk.

Sekiranya berlaku sebarang bencana, orang ramai boleh hubungi Unit Pantas MPAJ di talian 03-42857333 atau agensi berkaitan seperti bomba dan polis.

Pagi tadi, penghuni 20 rumah berhampiran Jalan E6, Taman Melawati, Ampang diarah berpindah sebagai langkah berwaspada susulan kejadian tanah runtuh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.42 pagi.

“Runtuhan tanah di lereng bukit berkeluasan 20×20 meter dengan ketinggian 30 meter itu tidak melibatkan mangsa dan kediaman penduduk.

“Setakat ini semua dalam keadaan terkawal dan tidak melibatkan mangsa namun masih berlaku pergerakan tanah di kawasan kejadian,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.