AGENDA

Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia komited mahu selesai isu Laut China Selatan

14 Okt 2024, 6:17 AM
Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia komited mahu selesai isu Laut China Selatan

SHAH ALAM, 14 OKT: Malaysia komited untuk menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif menerusi saluran diplomatik, menjelang tugas sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan sentiasa mengambil maklum dan memantau perkembangan isu di Laut China Selatan secara dekat.

“Dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

"Seperti mana sedia maklum, isu berkaitan Laut China Selatan adalah isu yang kompleks dan sensitif. Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy (BN-Kalabakan) mengenai tindakan kerajaan dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan.

Mengulas mengenai ketegangan antara Filipina san China, Mohamad berkata, konflik di perairan Laut China Selatan itu berlaku di luar kawasan maritim negara, berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Jelasnya, pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan juga adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian serta penyelesaian berdasarkan Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog Asean-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027,” katanya.

Tahun depan, Malaysia dipilih sebagai Pengerusi ASEAN bagi kali kelima sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu, iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. Asean ditubuhkan pada 8 Ogos 1967.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619