AGENDA

Belanjawan 2025: LKIM harap elaun sara hidup lebih 80,000 nelayan naik

14 Okt 2024, 12:58 AM
Belanjawan 2025: LKIM harap elaun sara hidup lebih 80,000 nelayan naik

SEREMBAN, 14 OKT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dapat menjadi pemangkin kepada transformasi sektor perikanan, dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup nelayan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata melalui pemberian subsidi yang berterusan, peningkatan elaun sara hidup, serta sokongan berterusan kerajaan terhadap penggunaan teknologi moden, langkah ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan nelayan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor perikanan yang lebih mampan.

"Setakat ini, terdapat sekitar 81,991 nelayah berdaftar di bawah LKIM seluruh negara. Angka ini menunjukkan saiz komuniti nelayan yang bergantung kepada bantuan dan sokongan kerajaan melalui pelbagai program yang disediakan oleh LKIM," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk kos bahan api dan peralatan juga memberi tekanan besar kepada komuniti nelayan.

"Dalam usaha menjaga kebajikan mereka, kami berharap ada peningkatan dalam elaun sara hidup bagi para nelayan. Kenaikan ini harus selaras dengan kadar inflasi dan kos operasi semasa untuk membantu meringankan beban kewangan nelayan.

"Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesejahteraan komuniti nelayan terus terjaga dan taraf hidup mereka dapat ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor perikanan berpotensi berkembang secara lebih lestari, sementara kehidupan nelayan dapat dipertingkatkan secara keseluruhan.

Selain itu, beliau menekankan keperluan untuk terus menggalakkan lebih ramai nelayan mendaftar sebagai ahli persatuan bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada menerima pelbagai manfaat yang disediakan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Belanjawan 2025, belanjawan ketiga di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619