AGENDA

41,000 kilogram kelapa cuba diseludup ke negara jiran dirampas

13 Okt 2024, 10:40 AM
41,000 kilogram kelapa cuba diseludup ke negara jiran dirampas

KOTA BHARU, 13 OKT: Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan 41,000 kilogram (kg) kelapa dianggarkan bernilai RM205,000 selepas menahan sebuah treler di Pengkalan Kubor di Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata treler itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada 10.15 malam dan anggota Batalion 9 (PGA9) turut menahan pemandu treler berusia 33 tahun.

Beliau berkata kesemua kelapa itu ditemukan di bahagian belakang treler dan hasil pemeriksaan mendapati buah itu tidak mempunyai dokumen sah dan dipercayai untuk diseludup.

“Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa itu ke negara jiran dan kesemua rampasan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubur untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 4(2)(b) Akta Fama 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata pasukannya turut merekodkan tiga kes rampasan bahan api iaitu dua kes di pangkalan haram Tualang, Tumpat dan Stor Surau Lama, Rantau Panjang pada hari sama.

Beliau berkata kesemua petrol itu ditemukan di dalam tangki tambahan di dua Proton Wira dan empat tong plastik di dalam stor yang keseluruhan berjumlah 820 liter.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk kereta, tangki tambahan dan minyak dianggarkan berjumlah RM25,681 dan diserahkan ke Komtak Pengkalan Kubor dan Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619