AGENDA

Paras air Sungai Chepir lepasi tahap bahaya, penduduk Sik diingat waspada

13 Okt 2024, 1:49 AM
Paras air Sungai Chepir lepasi tahap bahaya, penduduk Sik diingat waspada

SIK, 13 OKT: Penduduk di daerah Sik, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan paras air Sungai Chepir kini telah melepasi paras bahaya.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata paras amaran bagi sungai tersebut adalah empat meter, namun paras air meningkat akibat hujan lebat berterusan dari 6 petang semalam hingga 6 pagi tadi.

"Paras air Sungai Chepir telah naik melebihi lima meter, menyebabkan air melimpah ke tebing dan memasuki rumah penduduk yang berada berhampiran sungai.

"Terdapat kira-kira 50 hingga 70 buah rumah di kawasan berdekatan sungai, dan saya berharap agar mereka sentiasa berwaspada serta segera berpindah jika diarahkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Haisul Aishah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima laporan banjir pada 7.56 malam tadi, yang melibatkan hampir 10 kampung di Mukim Sik dan Mukim Sok.

"Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan pada pukul 12.48 malam tadi, iaitu di Balai Islam Kampung Tanjung Belit dan surau Kampung Belimbing. Masing-masing menempatkan seramai 30 keluarga dan 20 keluarga.

"APM Sik turut membantu memindahkan lapan keluarga membabitkan empat keluarga di Kampung Jerai, dua di Kampung Seberang Pekan Sik dan dua di Kampung Charuk Padang, yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air," katanya.

Katanya seramai 37 mangsa banjir yang terperangkap berjaya diselamatkan malam tadi, termasuk seorang wanita mengandung dan empat warga emas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619