AGENDA

Wanita rempuh pelajar UiTM tiada rekod rawatan mental di Terengganu

11 Okt 2024, 9:20 AM
Wanita rempuh pelajar UiTM tiada rekod rawatan mental di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 OKT: Pemandu wanita yang dipercayai sakit mental dan melanggar dua motosikal hingga mengakibatkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut Rabu lepas didapati tidak pernah mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan negeri ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata pihaknya telah membuat semakan dan mendapati wanita berusia 49 tahun terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.

"Bagaimanapun kita (Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu) tidak pasti jika dia (wanita) ada dapat rawatan di tempat atau negeri lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai yang mempunyai ahli keluarga mengalami masalah mental supaya tampil mendapatkan rawatan.

"Masyarakat perlu ubah mentaliti mengenai penyakit mental. Usah malu untuk dapatkan rawatan.

"Ahli keluarga dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada mereka (pesakit mental) untuk mendapat rawatan sewajarnya dan sembuh seperti sediakala," katanya.

Kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun itu menyebabkan Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang menaiki motosikal Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.

Pemandu wanita terbabit kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619