SHAH ALAM, 11 OKT: Lebih 100 pempamer bakal mempromosikan produk mereka sepanjang empat hari penganjuran Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 minggu depan.
Selain makanan, pengurus besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd berkata pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut meliputi perkhidmatan.
“Selalunya halal akan dikaitkan dengan makanan. Kali ini kita turut libatkan peniaga yang bukan menjual makanan tetapi turut memiliki sijil sah halal bagi memudahkan produk mereka berkembang.
“Selhac bakal menjadi platform usahawan terlibat meluaskan rangkaian peniagaan dan menghubungkan mereka dengan pihak berkuasa dalam industri halal,” kata Muhammad Syaril Showkat Ali.
Jelasnya, penganjuran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri dua itu akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 16 Oktober.
[caption id="attachment_663715" align="alignright" width="431"] Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali bercakap kepada Media Selangor di pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 17 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau menambah acara bersekali dengan Ekspo Makanan dan Minuman turut menampilkan pakar dalam bidang halal, termasuk wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan ahli akademik.
“Kali ini kita tekankan tiga tema iaitu kecekapan proses penghalalan, memangkin industri halal logistik serta menggalakkan inovasi pendigitalan halal,” katanya lagi.
Pada Ogos, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menyasar 60 peratus syarikat yang menyertai Selhac kali ini mendapat padanan niaga dengan tranksaksi lebih RM60 juta.
Mula diperkenal pada 2022, Selhac yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer merekodkan transaksi RM37.73 juta.
Tahun lalu, sidang terbabit berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta, selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.