AGENDA

Mangsa banjir Kedah, Perlis meningkat, Perak kekal takat 8 pagi ini

11 Okt 2024, 2:44 AM
Mangsa banjir Kedah, Perlis meningkat, Perak kekal takat 8 pagi ini

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan peningkatan pagi ini berbanding malam tadi, manakala bilangan mangsa di Perak kekal.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 3,655 orang daripada 1,163 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 3,496 orang daripada 1,126 keluarga malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa itu ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

“Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,697 orang daripada 517 keluarga di sembilan PPS, diikuti Kubang Pasu yang mencatatkan 870 orang daripada 307 keluarga dipindahkan di lapan PPS.

“Sementara di Pokok Sena melibatkan 574 orang daripada 200 keluarga di lima PPS dan Pendang merekodkan 514 orang daripada 139 keluarga di dua PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Perlis pula tidak menunjukkan perubahan ketara apabila meningkat kepada 519 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 518 mangsa malam tadi. Kesemua mangsa kini masih ditempatkan di empat PPS di Arau dan Kangar.

Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata empat PPS itu ialah Kolej Vokasional Kangar dan SK Sena bagi kawasan daerah Kangar manakala SK Kubang Gajah dan SK Arau di daerah Arau.

"Kawasan yang masih terjejas banjir antaranya Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar manakala Kampung Kubang Gajah, Kampung Banat dan Kampung Behor Gelam di Arau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini masih kekal 136 orang daripada 40 keluarga yang berlindung di dua PPS di Kerian.

“Seramai 71 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619