AGENDA

Jadi contoh kepada masyarakat, pempengaruh diseru bayar cukai

8 Okt 2024, 12:05 PM
Jadi contoh kepada masyarakat, pempengaruh diseru bayar cukai

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pempengaruh (influencer) masih perlu menjadi pembayar cukai walaupun tidak menerima bayaran secara berkala seperti individu yang menerima pendapatan tetap setiap bulan.

Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Wilayah Putrajaya Rohaizad Abd Fandi berkata golongan itu perlu mematuhi undang-undang cukai walaupun mungkin pendapatan mereka tidak dikenakan cukai kerana tidak melebihi nilai ambang.

“Secara amnya, pendapatan pempengaruh ini adalah termasuk dalam ekonomi digital. Mengikut pasaran, marketing influencer di Malaysia, Mikro Influencer ialah mereka yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman sosial dan dianggarkan memperolehi purata lima kerja mempromosi barangan dan perkhidmatan dalam sebulan.

“Manakala Makro Influencer pula mempunyai lebih 100,000 pengikut dan menjadikan kerjaya itu sebagai kerjaya sepenuh masa dengan membantu jenama dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.

“Dari sinilah golongan influencer memperoleh pendapatan lumayan dan layak dikenakan cukai,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai dengan tajuk ‘Influencer, Pengaruh Hebat Cukai’ di Bernama Radio di sini hari ini.

Mengikut Rohaizad lagi, pempengaruh juga boleh dikenakan cukai di bawah kategori pembayar cukai individu berpendapatan perniagaan kerana menerima keuntungan daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion termasuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa.

Beliau berkata untuk kategori pembayar cukai ini, pempengaruh perlu mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) menggunakan borang B melalui perkhidmatan e-Filing yang boleh diakses di portal MyTax bagi melaporkan pendapatan mereka.

“Mereka perlu menghantar borang berkenaan sebelum 30 Jun setiap tahun dan jika layak dikenakan cukai, mereka perlu membayar cukai sebelum 30 Jun pada tahun itu. Segala dokumen dan rekod perniagaan juga perlu disimpan selama tujuh tahun sama ada secara elektronik atau manual.

“Antara dokumen yang perlu disimpan termasuk perbelanjaan domestik dan persendirian; penyata bank; penyata pendapatan daripada syarikat pengiklanan; invois dan pengesahan transaksi jualan serta belian selain dokumen perjanjian antara influencer dan syarikat yang mengupah mereka bagi tujuan ulasan produk atau perkhidmatan,” katanya.

Rohaizad berkata kegagalan menyimpan rekod percukaian akan mengakibatkan risiko tuntutan belanja atau pelepasan cukai tidak dibenarkan dan boleh didakwa dengan denda tidak melebihi RM10,000 serta penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Beliau seterusnya berkata pempengaruh tidak perlu risau untuk melaporkan pendapatan kepada LHDN kerana pendapatan bercukai mereka boleh dikurangkan dengan pelepasan cukai yang dituntut berdasarkan jumlah pendapatan seperti tuntutan sewa untuk tujuan kerja dan sebagainya.

“Kepatuhan terhadap undang-undang cukai bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi juga sumbangan kepada pembangunan negara. Influencer, sebagai suara masyarakat, harus mengambil peranan aktif dalam memberi contoh yang baik kepada masyarakat dalam hal percukaian,” katanya.

Beliau berkata LHDN akan menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan pada 23 serta 29 Okt ini dan orang ramai yang ingin turut serta boleh mendaftar di http://seminar.hasil.gov.my.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619