AGENDA

PM duduki tangga ke-15 pemimpin Islam berpengaruh dunia

8 Okt 2024, 10:33 AM
PM duduki tangga ke-15 pemimpin Islam berpengaruh dunia

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-15 sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia, berdasarkan edisi terbaharu The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslim 2025.

Perkara itu dikongsikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi hantaran di aplikasi X hari ini, yang mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri apabila berjaya menaikkan kedudukannya di tangga ke-15 berbanding ke-17 tahun lepas bagi kategori sama.

“Kejayaan ini menunjukkan satu teladan ketokohan dan kepimpinan yang inklusif untuk masyarakat berbilang kaum,” menurut Nga dalam hantaran berkenaan.

Berdasarkan penerbitan itu, Anwar merupakan antara 50 individu yang tersenarai sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia selain Raja Jordan, Raja Abdullah II Al-Hussein yang menduduki tangga pertama; Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul-Aziz Al-Saud (kelima); dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (ke-18).

The Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang menerbitkan buku itu juga berkata Anwar berada di tangga kesembilan bagi kategori pemimpin dan ahli politik Islam berpengaruh dunia, mengatasi Prabowo (ke-10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (ke-11).

Penilaian ke atas mereka dibuat berdasarkan pengaruh masing-masing dalam membuat perubahan dari segi budaya, ideologi, kewangan, politik dan lain-lain ke atas komuniti Islam dan juga di peringkat antarabangsa.

Dalam pengenalan ringkas mengenai Anwar, penerbitan itu menyatakan bahawa perdana menteri lantang mengenai perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman Israel.

"Ibrahim (Anwar) telah menjadi penyokong lantang hak Palestin untuk menentang pendudukan. Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas yang dibunuh Allahyarham Ismail Haniyeh) telah mendapat kritikan dari Amerika Syarikat.

"Siaran media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh telah diturunkan, yang mendorong beliau untuk berkata: "Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang menindas," menurut penerbitan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619