AGENDA

Lebih 120,000 murid tahun satu masih tercicir, belum kuasai 3M

7 Okt 2024, 7:46 AM
Lebih 120,000 murid tahun satu masih tercicir, belum kuasai 3M

KAJANG, 7 OKT: Seramai 122,000 murid Tahun Satu bagi sesi akademik tahun ini di seluruh negara dikesan masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata antara punca yang menyumbang kepada perkara itu adalah keciciran pembelajaran semasa pandemik Covid-19, kemiskinan selain anak-anak keperluan khas.

"Angka ini sifatnya dinamik. Sebaik saja mereka menguasai melalui intervensi yang dibuat baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat Persekutuan serta program Anak Kita, nombor ini akan berubah dan bertambah baik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Tekad Reformasi Pendidikan yang julung kali diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Selangor yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Program Intervensi Literasi dan Numerasi yang bermula Ogos lepas dilaksanakan bagi membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M.

Mengenai Program Tekad Reformasi Pendidikan, inisiatif ini mengetengahkan usaha memperkasa pendidikan di Selangor, selari dengan usaha reformasi pendidikan dilaksanakan KPM.

Program ini bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terdepan dalam menyediakan pendidikan berkualiti melalui pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan inovasi pendidikan.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM dalam proses memastikan sasaran nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah dapat dicapai.

“Kita berharap dapat mencapai sasaran tersebut untuk melengkapkan ekosistem pendidikan, khususnya di peringkat sekolah, dan memberikan perkhidmatan psikososial yang baik kepada anak-anak kita, Insya-Allah,” katanya.

Mengenai isu buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur melibatkan anak penyanyi kumpulan Spider, Fadhlina berkata tindakan tegas telah diambil selain garis panduan juga sudah dikeluarkan dalam usaha menangani isu berkenaan.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa buli adalah buli. Tidak kira anak siapa pun, anak selebriti, anak menteri sekali pun, buli adalah buli.

"Jadi atas sebab itu, saya ingatkan (bahawa) seluruh ekosistem persekolahan harus dipastikan selamat. Mana-mana pihak yang telah pun membuat tindakan kepada pihak autoriti, khususnya pihak polis, yang sedang siasat, kita serahkan kepada pihak autoriti untuk melakukan siasatan," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619