Israel tidak pernah berniat untuk berdamai, malah perdana menterinya ingin terus mengukuhkan negara haram itu. Benjamin Netanyahu mengungkit, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 itu gara-gara perjanjian damai Oslo pada 1995.
Perjanjian dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) membolehkan warga yang terusir di tanah air mereka mentadbir sendiri Gaza dan Tebing Barat.
Netanyahu menggunakan serangan pejuang Palestin tahun lalu sebagai langkah menyelamatkan politiknya, yang didakwa korup dan berdepan kes mahkamah, dengan melebarkan penguasaannya di dua wilayah itu dan juga negara jiran.
Serangan yang bertubi-tubi di Gaza, Tebing Barat dan kini Lubnan jelas menunjukkan pembantaian Israel tidak akan menemui jalan damai dalam waktu terdekat.
Tanpa mempeduli rumah ibadah, kem pelarian, hospital dan sekolah, tentera rejim itu melebarkan serangan dari utara Gaza hingga ke selatannya Rafah.
Selepas menguasai semenanjung tirus itu dalam sejarah perang yang paling banyak mengorbankan nyawa, Netanyahu bergerak ke Tebing Barat sebelum tenteranya masuk ke selatan Lubnan.
Gaza tidak besar, kawasannya sepanjang Dataran Merdeka ke Pelabuhan Klang sahaja dengan lebar enam kilometer (di utara) hingga 12 kilometer (selatan) tetapi penduduknya 2.3 juta. Wilayah ini disifatkan paling padat di dunia.
Di sini, seramai 41,615 orang terbunuh sejak 7 Oktober 2023. Seramai 16,500 daripada korban ini kanak-kanak. Menurut Al Jazeera, hingga 30 September, seramai 96,359 lagi cedera dan lebih 10,000 hilang, kemungkinan bawah runtuhan bangunan. Di Israel, hanya 1,139 maut dan 8,730 cedera.
Walau Israel masuk dari utara Gaza atas alasan mencari 200 tebusan perang pada awal Oktober 2023, dan meminta warga Palestin berpindah ke selatan, tetapi akhirnya tiada tempat yang selamat untuk mereka.
Kawasan tengah Khan Younis dan selatan Rafah turut dibedil sehingga November lalu. Dua wilayah itu terus dibom antara Mei hingga Julai tahun ini. Kawasan pinggir pantai al-Mawasi yang berdekatan dua bandar itu turut diserang antara Julai hingga bulan lalu.
Selepas itu, satu demi satu serangan Israel tidak dapat dibendung lagi. Tentera rejim meningkatkan operasi di Tebing Barat pula. Sejak Oktober 2023, sekurang-kurang 700 terkorban, seramai 5,700 cedera di wilayah ini.
Tokoh utama Hamas, Ismail Haniyeh, dibunuh pada 31 Oktober di Tehran. Beberapa komander gerakan itu seperti Muhammad Deif dan Saleh al-Arouri turut terbunuh sepanjang pembantaian setahun lalu.
Ismail dibunuh menjelang usaha damai yang diusahakannya, menepati hasrat Netanyahu yang mahu menggagalkannya. “Ibu segala kejahatan [Palestin] ini adalah [Perjanjian] Oslo,” katanya pada awal Disember lalu.
Di perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 September, Netanyahu enggan berganjak lagi. Tanpa berlengah, sejam kemudian, Israel menghalakan semua kekuatan ke negara jiran utaranya Lubnan.
Seperti janji Netanyahu, Israel mahu melumpuhkan Hizbullah yang dipimpin ulama berani Hassan Nasrallah. Dalam serangan ini, tokoh Hizbullah itu terkorban. Lebih 700 maut, 90,000 penduduk melarikan diri dari selatan Lubnan.
Kira-kira 650 serangan dibuat bagi melumpuhkan 1,600 sasaran Hizbullah, lapor Al Jazeera. Semua ini dimulakan dengan serangan bom pada sistem komunikasi, alat kelui dan walkie-talkie, pada 17 dan 18 September.
Susulan itu kereta kebal Israel masuk ke Lubnan serentak dengan serangan terhadap sekutu Hizbullah di Yaman dan Syria. Sekutu utamanya Iran membalas kematian itu dengan serangan hampir 200 peluru berpandu pada 1 Oktober.
Tanggal 7 Oktober 2023 akan dikenang sebagai titik paling malang Palestin yang sudah menderita puluhan tahun sejak berdirinya Israel pada hujung 1940-an melalui dukungan kuasa-kuasa penjajah Barat.
Sejarah perit Palestin, umat Islam dan Timur Tengah diringkaskan seperti berikut:
1897 Kongres pertama gerakan Zionis di Basel, Switzerland pada 29 Ogos. Ia memutuskan perjuangan “mendirikan sebuah negara untuk kaum Yahudi di Palestin dengan perlindungan undang-undang”.
Setelah pengasasnya Theodor Herzl gagal dapatkan autonomi tanah daripada sultan Uthmaniyah, gerakan ini meraih sokongan Britain. Pada 1903, kuasa penjajah ini mencadangkan tanah seluas 15,500 km persegi di Uganda kepada Zionis tetapi ditolak.
1917 Setiausaha Luar Britain Arthur Balfour berjanji serahkan tanah Palestin kepada pendatang Yahudi pro-Zionis dalam surat pendeknya bertarikh 2 November.
Warkah ini hanya 67 perkataan tetapi membawa malapetaka besar kepada Palestin hingga ke saat ini.
Kerajaan Uthmaniyah tewas di tangan Britian dalam Perang Jerusalem selama enam minggu bermula 17 November.
Sewaktu Jeneral Edmund Allenby melangkah masuk pada 11 Disember, beliau dilapor berkata “kemenangan tentera Salib kini sudah lengkap.” Britain kuasai penuh Palestin setahun kemudian.
1922 Britain mula mentadbir Palestin bawah mandat Liga Bangsa-Bangsa (badan lama sebelum PBB) sehingga 1948.
Menurut rekod rasmi Britain, hampir 380,000 pendatang Yahudi masuk ke Palestin mulai tahun ini hingga 1946.
1935 Ulama dan pejuang terkenal Izzuddin al-Qassam terbunuh, mendorong penentangan lebih bersemangat terhadap kuasa asing dan kumpulan Zionis. Briged al-Qassam, sayap pejuang Gerakan Penentangan Islam (Hamas), diberi nama sempena tokoh ini.
1936 Penentangan umat Islam Arab diteruskan lagi dan dipertingkat mulai 19 April tetapi berjaya ditundukkan 26 Ogos tiga tahun kemudian dalam peristiwa Pemberontakan Besar Arab.
1947 PBB, terbentuk pada 1 Ogos 1946 daripada negara kuasa besar yang menang Perang Dunia Kedua, buat keputusan pecahkan Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab dalam Resolusi 181. Waktu ini 67 peratus penduduk, atau 1.2 juta orang, masih lagi warga Arab yang menguasai 94 peratus tanah.
1948 Britain melepaskan mandat, Israel isytihar kemerdekaan pada 15 Mei yang mendorong negara jiran Arab melancarkan perang.
Tanggal ini digelar Nakbah, atau malapetaka besar, yang dikenang seluruh warga Palestin setiap tahun.
Seramai 15,000 penduduk Palestin terkorban dan 750,000 dihalau ke negara-negara jiran. Enam juta keturunan mereka ini berada di 58 kem pelarian yang daif.
1950-an (hujung) Fatah, asalnya Gerakan Kebangsaan Pembebasan Palestin, ditubuhkan. Ia menjadi kumpulan terbesar dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan sekarang membentuk parti yang menguasai Tebing Barat.
1964 Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) ditubuhkan pada 2 Jun sebagai gabungan semua gerakan penentangan terhadap penguasaan Israel.
Banyak perjanjian dengan kuasa Barat dan pertubuhan didunia dibuat melalui PLO yang diiktiraf sebagai wakil penduduk Palestin.
1967 Israel berjaya menguasai timur Jerusalem, Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan (milik Syria) dan Sinai (Mesir) dalam Perang Enam Hari pada 5 Jun. Peristiwa duka akibat tewasnya negara-negara Arab ini disebut Naqsar atau kemunduran.
Pada 22 November, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara meluluskan resolusi 242 yang mendesak Israel menyerahkan semula wilayah yang dirampasnya dalam “konflik terkini” dan menghormati semua kedaulatan negara yang bertelagah.
Selain keputusan PBB pada 1947, resolusi ini sering dianggap sebagai asas penyelesaian dua negara dalam beberapa rundingan damai. Namun semua cadangan ini belum berjaya.
1973 Perang tercetus lagi antara negara-negara Arab dan Israel selama lebih dua minggu mulai 6 Oktober di Bukit Golan, Sinai dan Suez.
1978 Perjanjian kem David pada 1 September antara Mesir dengan Israel.
1979 Israel keluar dari Sinai selepas termeterai perjanjian damai dua negara ini. Sekali gus, Mesir menjadi negara Arab pertama mengiktiraf negara Israel. Hubungan diplomasi dan dagang berjalan.
1987 Intifadah, atau kebangkitan, pertama dilancarkan pada 1 Disember bagi menentang kependudukan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Imej pemuda Palestin membaling batu ke arah kereta kebal menjadi simbol utama penentangan ini yang korbankan kira-kira 1,300 pejuang dan 200 Israel.
Sebagai cabang gerakan Ikhwanul Muslimin, Hamas ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yassin untuk membebaskan Palestin daripada penaklukan Israel.
1993 Perjanjian sulit di Oslo, Norway antara Israel dengan PLO pada 13 September bagi membenarkan penubuhan Pihak Berkuasa Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Intifadah pertama berakhir.
1995 Susulan perjanjian ini, pada 28 September, Tebing Barat dibahagi kepada tiga jenis: Kawasan C 60 peratus dikuasai Israel, B (22 peratus) ditadbir bersama dan A (18 peratus) dikawal Palestin.
2000 Intifadah kedua digerakkan pada 28 September sebagai membantah lawatan bekas jeneral Ariel Sharon ke Haram al-Sharif. Warga Palestin curiga lawatan ini sebahagian menguasai tempat suci umat Islam tersebut.
2002 Israel mula mendirikan tembok pemisah tinggi di Tebing Barat pada 23 Jun bagi menjamin keselamatannya. Tembok ini memisahkan kawasan tradisi termasuk Jerusalem dan banyak keluarga Palestin. Projek membina pagar elektrik dan tembok konkrit di sempadan Gaza bermula sejak 1995.
2004 apabila tokoh utama PLO Yasser Arafat meninggal dunia pada 11 November, Intifadah berakhir. Setahun kemudian, 9,000 pendatang Israel dibubar dan tenteranya berundur dari Gaza.
2006 Hamas menang pilihan raya pada 25 Januari bagi melantik anggota majlis perundangan Pihak Berkuasa Palestin. Gerakan ini menang 74 daripada 132 kerusi, manakala Fatah meraih 45 kerusi.
Namun, kemenangan ini bertukar konflik baharu apabila tentera Israel menyusup ke Gaza dan melancarkan serangan tengah malam 28 Jun. Esoknya, negara itu menahan lapan menteri Hamas dan 26 anggota majlis perundangan di Tebing Barat.
Sehingga Ogos, Israel menahan 49 pegawai kanan Hamas, semuanya dari Tebing Barat, termasuk 33 anggota parlimen dengan alasan gerakan itu “pengganas”.
2007 Walau Hamas menang besar, Fatah berperang dengan gerakan ini yang menyebabkan banyak nyawa terkorban. Hamas berjaya menolak keluar pencabarnya dalam perang saudara pada 2007.
Susulan itu, Israel menguatkan sekatan udara, laut dan dan darat terhadap Gaza. Sekatan negara ini bersama Mesir bermula sejak 2005, tidak lama selepas berundur. Dengan penduduk 2.3 juta di atas tanah 365 km persegi, Gaza dianggap “penjara terbuka” di kawasan antara paling padat di dunia!
Israel melancar empat serangan besar terhadap wilayah ini: 2008, 2012, 2014 dan 2021. Ribuan penduduk Gaza terbunuh dan ribuan bangunan runtuh. Pada 2014 sahaja, serangan mengorbankan 2,100 termasuk hampir 500 kanak-kanak. Seramai 11,000 cedera dan 20,000 rumah ranap.
2023 Hamas lancar serangan mengejut melalui darat dan udara pada 7 Oktober. Israel melancarkan serangan balas bertubi-tubi termasuk penaklukan darat di utara Gaza.