AGENDA

Agenda hapus miskin tegar dilaksana secara adil, tiada kaum terpinggir

6 Okt 2024, 9:14 AM
Agenda hapus miskin tegar dilaksana secara adil, tiada kaum terpinggir

SUNGAI SIPUT, 6 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agenda pemerkasaan ekonomi dilaksanakan dengan adil tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.

Menteri Kewangan itu berkata hal berkenaan termasuk pelaksanaan program pemerkasaan ekonomi kaum India.

“Saya sebut hal ini di Sungai Siput pada petang ini kerana kita (kerajaan) buat semua ini, tiada langsung penghargaan. Yang ada hanyalah seolah-olah kita tidak peduli.

“Siapa kata (kerajaan) tidak peduli? KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) ada dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Dalam mesyuarat kalau saya kata miskin tegar, saya kata untuk semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Heawood di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Anwar berkata untuk berlaku adil, kerajaan juga menyalurkan peruntukan menerusi program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk semua kaum manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sebelum ini 100 peratus untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera, juga telah diperluas kepada kaum India.

“Saya kata apa salahnya beri ruang kepada masyarakat India yang miskin... ambil mereka, latih dan beri peluang (berniaga) kepada mereka.

“Di Semenanjung berapa jumlah paling miskin? Siapa? Melayu, tetapi dalam kategori masyarakat termiskin ada juga orang India, mereka itu warganegara, rakyat kita… saya sebagai Perdana Menteri, itu tanggungjawab saya (bantu),” katanya.

Sementara itu, Wong dalam ucapannya berkata SJKT Heawood yang dibina di kawasan seluas 2.4 hektar melibatkan kos RM13.19 juta mula beroperasi pada 11 Mac lepas dan mempunyai 12 bilik darjah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619