AGENDA

Kekurangan tenaga kerja, AI ambil alih peranan khidmat pelanggan di Jepun

5 Okt 2024, 4:35 AM
Kekurangan tenaga kerja, AI ambil alih peranan khidmat pelanggan di Jepun

TOKYO, 5 OKT: Beberapa syarikat Jepun kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengisi kekosongan peranan khidmat pelanggan, mempamerkan keupayaan menangani situasi lebih kompleks di tengah-tengah masalah kekurangan tenaga kerja di negara itu.

Ridgelinez Ltd., anak syarikat Fujitsu Ltd., dan anak syarikat peruncit alat ganti kereta Autobacs Seven Co. memulakan ujian bersama pada Ogos menggunakan pembantu AI yang dikenali sebagai "Rachel".

Rachel boleh mencadangkan produk berdasarkan jenis perkhidmatan yang diperlukan pelanggan, model kereta dan stok yang ada, lapor Agensi Berita Kyodo.

AI yang disediakan oleh syarikat yang berpangkalan di Tokyo, Couger Inc., membantu meringankan beban kerja jurujual yang perlu mempunyai pengetahuan luas kerana kereta berbeza sering memerlukan alat ganti khusus.

"Manusia masih diperlukan untuk menggantikan alat ganti, tetapi AI membantu dengan mencadangkan produk," kata pegawai Ridgelinez.

Oki Electric Industry Co. dan Kyushu Railway Co. juga memulakan percubaan pembantu AI yang boleh memberi maklumbalas dalam bahasa Jepun, Inggeris, dan Cina, membantu penumpang dengan panduan peta stesen dan pertukaran kereta api.

Sapeet Co., sebuah syarikat pemula di Tokyo, mencipta AI yang boleh digunakan untuk melatih kakitangan dalam khidmat pelanggan. Ia mula dilaksanakan di sebuah kedai barang kemas pada Julai.

AI itu menunjukkan kemahiran jurujuak yang berprestasi tinggi dalam interaksi dengan pelanggan dan meniru perbualan untuk latihan kakitangan.

- BERNAMA-KYODO

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619