AGENDA

ACL2: Faisal Halim berbesar hati beraksi lebih lama sejak serangan asid

4 Okt 2024, 4:34 AM
ACL2: Faisal Halim berbesar hati beraksi lebih lama sejak serangan asid

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pemain sayap sensasi Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim berbesar hati selepas membuat debut ketika membantu Gergasi Merah meraih kemenangan pertama dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/25, semalam.

Pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Selangor menewaskan Dynamic Herb Cebu FC dari Filipina 1-0 dan Faisal dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-62.

Faisal berkata dalam perlawanan itu, beliau mendapat minit perlawanan paling lama sejak kembali beraksi pada Ogos lepas selepas insiden serangan asid pada Mei yang hampir memusnahkan kariernya.

“Alhamdulillah tiga mata untuk pasukan di laman sendiri dalam saingan ACL2, ia bukan satu perlawanan yang mudah. Apa-apa pun saya dapat minit perlawanan paling lama, ini adalah perlawanan pertama saya dapat minit yang lama.

“Sekarang hampir lima bulan (sejak serangan asid), saya akan terus maju langkah demi langkah untuk dapatkan prestasi (terbaik). Bagi saya (prestasi sekarang) belum cukup lagi, belum sampai masa untuk saya berpuas hati. Saya masih di tahap untuk cari kembali prestasi,” katanya selepas perlawanan, semalam.

Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu mengakui puas dapat membuat penampilan di pentas kejohanan Asia setelah terlepas peluang bersama kelabnya sebelum ini, Terengganu FC pada musim lepas setelah berhijrah ke Selangor.

“Alhamdulillah kami bekerja keras untuk datang ke Asia, hari ini mimpi itu jadi kenyataan dapat bersama Selangor dan dapat merasai (saingan Asia). Tetapi ada banyak perlawanan lagi, kami perlu perbaiki apa yang kurang dan saya pun kena kerja keras,” katanya yang tidak diturunkan pada aksi pertama.

Dalam pada itu, Faisal berkata saingan di ACL2 mampu mempercepat proses untuk beliau kembali mencapai prestasi terbaik.

“Intensiti tinggi, persaingan hebat, bukan satu perlawanan yang mudah, saya rasa bagus untuk saya sebenarnya. Kita bermain di tahap tinggi, saya mencari rentak dan mencari minit permainan dan akan maju langkah demi langkah,” katanya.

Selepas dua perlawanan, Selangor kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul empat mata, dua mata di belakang pendahulu Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan sementara wakil Thailand Muangthong United ketiga (satu mata) dan Dynamic Herb Cebu tercorot tanpa sebarang mata.

Seterusnya skuad bimbingan Nidzam Jamil itu akan membuat perhitungan dengan Jeonbuk Hyundai Motors pada perlawanan ketiga kumpulan di Stadium MBPJ, 23 Oktober depan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619