SHAH ALAM, 3 OKT: Festival kebudayaan yang mempamerkan keunikan seni dan makanan warisan akan dianjurkan di sembilan daerah sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
EXCO kebudayaan acara tersebut memberi peluang pelancong tempatan dan antarabangsa, malah penduduk tempatan mengenali keunikan setiap daerah di Selangor
“Bulan lalu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) anjurkan Festival Selangor@Batu Laut. Acara ini dijadikan contoh untuk kita laksana festival sendiri dengan mengetengahkan budaya yang ada di setiap daerah.
“Festival bakal diadakan ini babit setiap daerah seluruh Selangor dengan pengisian pelbagai aktiviti termasuk mempamerkan budaya serta seni yang sinonim dengan kawasan tersebut.
“Kita akan adakan pertemuan dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebelum dibawa ke Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN),” katanya kepada Selangorkini.
Pada 7 September lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Festival Selangor@Batu Laut yang diadakan di Dataran Pantai Batu Laut dan turut melancarkan lagu keroncong ‘Inilah Selangor’ sebagai simbolik majlis perasmian.
[caption id="attachment_666170" align="aligncenter" width="700"] EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah mengagihkan soto palembang percuma kepada pengunjung ketika Program Fiesta Warisan Bandar Diraja Klang 2023 di Stadium Kota Raja Klang pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Dalam perkembangan lain, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi agensi media rasmi, Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) akan bekerjasama dengan TV Sarawak dalam mempromosi berkaitan Tahun Melawat Selangor 2025.
“Kita menerima kunjungan hormat daripada TV Sarawak kelmarin dan hasil perbincangan satu memorandum persefahaman akan dimeterai bersama MSSB pada Disember depan.
“Menerusi kerjasama dijangka disaksikan pimpinan tertinggi kedua-dua negeri, antara intipati ialah perkongsian berita, kegiatan ekonomi dan budaya setempat,” katanya.
Baru-baru ini, Tourism Selangor memaklumkan Tahun Melawat Selangor 2025 dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Jelasnya, terdapat lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.