AGENDA

Syarat program khas peralihan lesen memandu kelas B dilonggar

2 Okt 2024, 2:59 PM
Syarat program khas peralihan lesen memandu kelas B dilonggar

PUTRAJAYA, 2 OKT: Syarat Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) yang bermula semalam dilonggarkan serta-merta berikutan keluhan orang ramai yang tidak layak menyertai program itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata satu daripada syarat untuk program itu ialah individu mesti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.

Beliau berkata mengambil kira maklum balas daripada orang ramai, perkara itu dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dan beliau bersetuju memudahkan lagi syarat tersebut.

"Syarat itu dilonggarkan serta-merta iaitu tempoh LLM hanya perlu aktif dan mencukupi 10 tahun ke atas dan tidak perlu secara 10 tahun berturut-turut (diumumkan sebelum ini)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara sebab yang dibangkitkan orang ramai adalah munasabah iaitu lesen tidak dapat diperbaharui susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Sepanjang tempoh PKP itu kerajaan memberikan pengecualian kepada keperluan memperbaharui lesen memandu bagi semua pemegang lesen.

Bagaimanapun, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam dan tunggakan saman.

Loke berkata kemas kini akan dilakukan agar lebih ramai pemohon berjaya dan mendapat manfaat daripada program itu.

"Kita buat pertukaran (sistem) serta-merta untuk memudahkan orang ramai. Kita mohon kesabaran orang ramai dan dalam masa beberapa hari, mereka (pemohon) boleh ambil program itu di institut memandu yang terlibat," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619